Hikmah Perpisahan

Photobucket

"Anugerah Hidup..."

"Wahai Sahabat yang kecewa menderita dan sengsara kerana cinta, fahamilah bahawa kehidupan kita makin sampai ke penghujungnya. Hari esokpun kita sendiri tak pasti samada menjadi milik kita, gapailah keredhaan ALLAH dengan melaksanakan suruhan-NYA, dan meninggalkan larangan-NYA..."

21 May, 2011

Perempuan Memang Begini,,,;))

Andai lelaki tahu..Apabila seorang perempuan jatuh cinta,lelaki itu tidak semestinya punya segalanya tetapi lelaki itu adalah segalanya di hatinya.   Andai lelaki tahu..Apabila seorang perempuan itu mengalirkan air mata, itu bukan bermakna dia lema...h, tetapi dia sedang mencari kekuatan untuk terus tabah menyintai lelaki itu.   Andai lelaki tahu..Apabila seorang perempuan marah, memang dia tidak mampu mengawal perasaannya tapi percayalah, itulah maknanya dia sangat mengambil berat dan menyayangi lelaki itu. Lihat saja pasangan yang baru bercinta, mereka jarang bergaduh. Tetapi percayalah semakin bertambah sayang mereka pada seseorang, semakin pula banyak pertelingkahan yang berlaku.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan bercakap banyak, dia tidak pernah bermaksud untuk membuat anda rimas, tapi dia mahu lelaki mengenalinya dengan lebih dekat.   Andain lelaki tahu..Apabila perempuan berkata dia mahu anda berubah, itu bukan bermakna dia tidak mahu menerima anda seadanya, tetapi dia mahu menjadikan anda lebih baik, bukan untuk dirinya, tetapi untuk masa depan anda.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan cemburu dan tidak percayakan anda, bukan bermakna dia tidak sayang..tetapi dia terlalu sayangkan anda dan masih mengangap anda anak kecil yang masih memerlukan sepenuh perhatian. Kadang2 dia terlalu risau sekiranya terlalu percaya, anda akan mengkhianati kepercayaan yang diberi. Naluri keibuannya sangat kuat. Dia hanya mahukan yang terbaik untuk anda.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan merajuk, jangan kata dia mengada-ngada. Dia bukannya mahu dipujuk dengan wang ringgit atau hadiah sedozen, tetapi cukup dengan perhatian yang boleh buat perempuan rasa dihargai.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan jarang mengatakan ‘i love u’, itu tidak bermaksud dia tidak menyintai tetapi dia mahu lelaki itu merasai sendiri cintanya, bukan hanya hadir dari kata-kata tetapi juga melalui bahasa tubuhnya.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan kata dia rindu sama kamu, dia benar-benar maksudkannya. Apabila berjauhan, bayanganmu akan sentiasa bermain di mata.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan kata lelaki lain itu lebih baik dari kamu, jangan percaya kata-katanya kerana dia hanya mahu menguji kamu. Dia mahu melihat sejauh mana kamu sanggup menjadi yang terbaik di matanya. Walaupun sebenarnya memang kamulah yang terbaik di hatinya. Selagi dia dengan kamu, percayalah, walaupun perempuan menganggap masih ramai lagi yang lebih baik di matanya tetapi di hatinya, kamu tetap yang terbaik.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan menjadi degil, dia bukan bermaksud untuk menjadi degil tapi dia mahu melihat sejauh mana lelaki itu mampu bersabar dengan kerenahnya. Percayalah, hati perempuan itu sangat lembut. Andai kena caranya, jangan terkejut kalau akhirnya dia menukar fikirannya dalam masa sesaat.   Andai lelaki tahu..Apabila perempuan berkata, “tolong tinggalkan saya!”, dia tidak bermaksud menyuruh anda pergi selamanya. Dia hanya mahu menenangkan fikirannya sebentar saja. Apabila dia kembali tenang, percayalah dia akan mencari anda semula. Itu tandanya dia benar-benar menyintai anda. Perempuan sukar untuk mengawal perasaan. Dia terlalu emosional. Tapi dialah yang paling menyayangi anda dan sangat sensitif dengan perubahan pada diri anda.   Andai lelaki tahu..Sememangnya Allah menciptakan lelaki dan perempuan itu dengan perbezaan yang tersendiri. Tetapi sekiranya mereka saling memahami, mereka akan saling melengkapi dan menyempurnakan . Perempuan itu diciptakan oleh Allah indah sekali. Di sebalik air matanya, tersimpan seribu satu kekuatan yang bakal menjadikan seorang lelaki itu merasa selamat bersamanya. Biarpun zahirnya perempuan itu tampak lemah tapi dia punya kekuatan tersendiri yang bisa menggoncang dunia dan mungkin bisa pula membuat lelaki menjadi lemah kerananya. Jadi hargailah kehadiran seorang perempuan dalam hidup anda kerana dia didatangkan bukan dengan kelemahan sahaja tetapi dia juga ada kekuatan untuk menyongkong anda dan membuatkan hidup anda lebih sempurna. Dialah yang bakal menjadi perempuan bekerjaya, isteri juga ibu yang terbaik untuk anak2 anda.Lihat seterusnya..

10 April, 2011

Ibu Tunggal @ Janda...

Bukan mudah menggalas gelaran ibu tunggal.  Apa saja yang dilakukan menjadi bahan yang menarik untuk diperkatakan.  Macam-macam 'title' diberikan kepada golongan seperti kami  perampas suami orang la ,,,pengacau anak teruna oranglah ... bahkan kopi segera yang hangat di pasaran pun menggunakan label Janda.  Kadang-kadang rasa geram gak bler golongan seperti kami diletakkan di tahap sebegitu rupa.  Pandangan ini mungkin dari dulu tidak pernah berubah.  Dulu aku tidak pernah terfikir pun akan menggalas gelaran ini namun ini merupakan ketentuan yang harus aku terima.  Antara sedar dan tidak dah hampir 5 tahun aku menggalas gelaran miss J nih hehe  ...kadang-kadang buat aku tersenyum sendiri jew.  Terfikir gak lama tu , tak ade sape pun yang masuk meminang aku huhu bler pikir-pikir semula ahhh! di zaman sekarang nih anak-anak dara pun ramai yang belum mendirikan rumah tangga jadi aku patut bersyukur sekurang-kurangnya aku sudah punya anak-anak yang perlukan aku untuk menjalani kehidupan seharian.  Apa yang aku perlukan adalah kekuatan dalam diri untuk punya semangat meneruskan kelangsungan hidup yang sementara ini.

29 March, 2011

Bila anak memberontak

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN


IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.


KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.
Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.
Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.
Tabiat
Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.
“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.
“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.
“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.
“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.
“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.
“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.
“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.
“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.
“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.
“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.
“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.
Wanita lebih murung
Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.
Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.
“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.
“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.
“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.
Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.

05 February, 2011

Janda upah gengster ceroboh rumah

KUALA LUMPUR - Perasaan dendam yang meluap-luap terhadap bekas suaminya didakwa telah mendorong seorang janda mengupah beberapa lelaki disyaki gengster untuk menceroboh rumah lelaki tersebut dan melarikan pelbagai barangan berharga bernilai RM657,600 dalam kejadian di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini.
Kejadian tersebut disedari ahli perniagaan berusia 47 tahun tersebut ketika pulang ke rumahnya pada pukul 1.30 pagi kelmarin. Ketika itu, dia dan isteri barunya yang berusia 39 tahun keluar atas urusan perniagaan.
Difahamkan, janda berusia 41 tahun tersebut telah berpisah dengan suaminya beberapa bulan lalu.
Sumber memberitahu, beberapa minggu sebelum kejadian, mangsa dan isterinya telah mendapat khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan daripada salah seorang gengster yang diupah itu.
Katanya, sebaik sampai di rumahnya di tingkat 18 kondominium tersebut, dia mendapati sebahagian kecil pintu rumahnya telah terkopak manakala kuncinya telah ditukar oleh pemilik rumah berkenaan didakwa bekas isterinya.

02 January, 2011

Selamat Tahun Baru & Selamat Kembali Ke Sekolah

Esok 3/01/2011 bermulanya sesi persekolahan tahun 2011.  Anak sulungku akan meneruskan pembelajaran di tahun 3 manakala anak bongsuku akan memulakan pembelajaran di prasekolah.  Moga segalanya berjalan lancar Insyaallah...amin.

31 December, 2010

Cinta Ibarat Air


MUDAHKAH anda membuka pintu hati kepada seseorang, tetapi teramat sukar untuk menutup kembali pintu hati kepadanya?
Tidak dinafikan apabila perasaan cinta sudah bermukim di hati, anda terasa betapa indahnya dunia.
Lebih indah lagi apabila segalanya terbuai kerana mencintai seseorang yang anda amat suka walaupun dia tidak membalasnya.
Namun, pengalaman pernah menyayangi seseorang, tetapi akhirnya dilukai membuatkan bencinya hati apabila hendak menerima kehadiran orang baru. 
Begitu juga sebaliknya, seseorang yang begitu menyintaimu, tetapi anda tidak menyukainya walau sebesar zarah pun. Fikirlah, perasaannya sama seperti perasaan anda - ingin mencintai walaupun tidak dicintai.

Hormati perasaannya, tetapi usah berikan harapan kerana terpaksa dalam cinta adalah suatu kepalsuan. Akhirnya yang merana diri anda sendiri.
Cinta ibarat air. Anda sangat memerlukannya di dalam hidup namun jika ia ibarat air di lautan, ia akan menjadi ombak yang akan membuatkan hidup anda terumbang-ambing.
Jika ia ibarat air di kutub, maka ia akan menjadi ketulan ais yang membekukan kita.
Jika ia ibarat air sungai yang mengalir tenang maka ia akan berterusan menghanyutkannya ke muara.
Sekiranya ia ibarat air terjun, lalu terhempaslah anda berulang-ulang ke bawah. Kalau ia ibarat air tasik yang tenang membiru, anda dalam diam akan menyimpan berjuta keladak di dasarnya. Lalu jenis air mana yang anda inginkan?
Carilah mata air yang suci lagi murni walaupun keluar sedikit demi sedikit, tetapi akan melimpahi perigi dan menghilangkan kehausan kita dengan sekali teguk saja.

Biarlah anda menjadi cinta terakhir kepada seseorang kerana mungkin sudah terlambat untuk menjadi cinta pertamanya, tetapi anda tidak akan pernah terlambat untuk menjadi cinta terakhirnya.

30 December, 2010

Tahniah Buat Team Bola Sepak Malaysia


Congrats buat team bola sepak Harimau Malaya.  Walaupun tewas 2 - 1 kepada team Indonesia malam tadi namun kelebihan agregat 4-2 sudah cukup meletakkan team Malaysia menutup tirai 2010 dengan satu kenangan manis buat pasukan negara.  Lebih menarik lagi dengan kemenangan itu PM mengumumkan cuti umum pada hari Jumaat 31 Disember, 2010.  Tq uols,,,:)))

06 December, 2010

Salam Maal Hijrah,,,:)))

DOA AKHIR TAHUN HIJRAH

(Selepas solat asar sebelum solat maghrib)


Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya.
Ya Allah, sesungguhnya pada tahun ini aku telah melakukan laranganmu tetapi aku masih belum bertaubat sedangkan Engkau tidak reda dan melupai perkara itu. Engkau telah menangguhkan azabMu yang telah ditetapkan kepadaku. Engkau telah memerintahkan supaya aku bertaubat dari kesalahan itu. Sesungguhnya pada hari ini aku memohon keampunan dariMu, ampunilah aku dan apa yang telah aku lakukan pada tahun ini yang Engkau redai dan Engkau janjikan pahala maka aku memohonnya daripada Engkau. Ya Allah, Ya Karim, Ya Zaljalali Wal Ikram. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin…

Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan, ‘Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.’

DOA AWAL TAHUN

(Selepas Solat maghrib sebelum solat isya')


Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Ya Allah, Engkaulah yang kekal abadi untuk selama-lamanya. Demi kelebihanMu yang Maha Agong dan kemurahanMu yang melimpah, sesungguhnya pada tahun ini aku memohon kepadaMu perlindungan daripada syaitan yang direjam, dari sekalian kuncunya, tenteranya dan penolongnya. Aku juga memohon perlindungan daripada nafsu amarah yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan dan melalaikan dengan perkara yang tidak berfaedah daripada mendekatkan diriku kepadaMu. Selawat serta salam ke atas junjungan kami Nabi Muhammad s.a.w. serta ahli keluarga baginda dan para sahabatnya. Segala puji hanya bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekalian alam…Amin… Sesiapa yang membaca doa ini maka akan berkata syaitan,’Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan.’

23 November, 2010

Azam mendidik anak

Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?

"BELAJARLAH memahami setiap tindakan anak kerana dengan cara inilah anda menggalakkan komunikasi yang lebih baik."


KITA sering mendengar resolusi tahun baru kebanyakan orang adalah untuk berhenti merokok, lebihkan senaman atau mengubah tabiat pemakanan. Apa kata tahun ini anda mencari resolusi baru untuk menjadi ibu bapa yang lebih efektif?
Mungkinkah terdapat teknik mendidik anak yang perlu anda tukar? Ataupun terdapat tabiat anak anda yang perlu diubah?
Berikut adalah sesetengah resolusi mendidik anak yang mungkin boleh dipertimbangkan.
Jadikan contoh
Kebanyakan ibu bapa tidak sedar akan pengaruh mereka terhadap anak-anak.
Anak biasanya cenderung terpengaruh dengan tabiat merokok, pengamalan diet yang tidak sihat, tidak memakai topi keledar dan sebagainya jika salah seorang daripada ibu bapa mempunyai tabiat buruk.
Ibu bapa perlu menjadi model yang baik sama ada dari segi tingkah laku mahupun kaedah pengurusan emosi.
Mendisiplinkan anak
Belajar mendisiplinkan anak secara efektif amat mustahak. Mendidik mereka kaedah bertindak balas dan mengurangkan tingkah laku yang buruk adalah salah satu contohnya.
Disiplin dan hukuman bukan perkara yang sama. Jika anda berdepan dengan masalah mendisiplinkan anak, maka jangan segan mendapatkan bantuan. Setiap kanak-kanak adalah berbeza. Teknik didikan tertentu tidak semestinya boleh diaplikasikan untuk semua anak.
Didikan adalah sebahagian besar daripada disiplin. Jika anak melenting, mengehadkannya daripada menikmati pelbagai keistimewaan mungkin satu tindakan yang wajar.
Tetapi, si anak tidak mungkin belajar atau tahu apa yang betul sehinggalah anda menunjukkan kepadanya. Luangkan masa untuk menerangkan perilaku yang betul kepada anak.



Memahami anak
Adakah anda memahami perkara yang dilakukan oleh anak? Mengapa anak kecil memandang anda dan sejurus selepas itu memukul abangnya atau melontarkan sesuatu ke atas lantai? Tidakkah dia tahu itu sesuatu yang salah?
Dia mungkin tahu tetapi tidak bermakna apa yang dilakukan itu jahat. Sebaliknya, kebanyakan kanak-kanak berada dalam kedudukan menerokai had mereka. Inilah satu proses normal dan merupakan sebahagian daripada perkembangan semula jadi. Jika anda berusaha memahami rasional anak, boleh jadi kemarahan dan reaksi anda tidaklah seteruk yang disangkakan.
Sebahagian besar ibu bapa telah mengukuhkan perilaku buruk anak tanpa disedari. Keadaan ini boleh berlaku apabila anak disalurkan dengan pelbagai perhatian negatif dan tidak konsisten. Sekiranya anda masih tidak dapat memahami mengapa anak bertindak sedemikian, maka ini mungkin bermakna teknik mendisiplinkan anak anda itu tidak berkesan.
Pemakanan sihat
Dewasa ini kebanyakan ibu bapa dilihat cenderung memanjakan anak. Malah, mereka juga terlupa meminta anak membasuh pinggan mangkuk setiap kali selepas makan. Sepatutnya, anak perlu belajar menghabiskan makanan agar tidak meninggalkan separuh daripada sajian tersebut di dalam pinggan.
Jika anda sentiasa membiarkan lebihan makanan berada dalam pinggan secara konsisten, tabiat ini akan terbawa-bawa sehingga ke alam dewasa. Untuk menyelesaikan masalah ini, anda mungkin boleh memberikan hidangan kecil kepada anak bagi melatihnya menghabiskan semua makanan. Sediakan juga pilihan makanan yang sihat seperti buah-buahan, sayuran, daging dan produk tenusu rendah lemak. Hadkan pengambilan minuman bersoda, tinggi gula dan makanan kaya lemak dalam diet pemakanan anak anda.

"GALAKKAN anak aktif dalam aktiviti fizikal bagi mengelakkan risiko menjadi obes."


Aktiviti fizikal
Bilangan kanak-kanak dan anak remaja yang obes kian bertambah. Menghabiskan masa berjam-jam di depan televisyen, bermain permainan video dan komputer adalah antara puncanya. Jadi, selain pengamalan diet yang seimbang, pastikan anak diberi masa untuk melakukan aktiviti-aktiviti fizikal secara kerap untuk kekal sihat dan cergas.
Berkomunikasi secara efektif
Adakah anda tahu bagaimana berinteraksi dengan anak? Apakah yang akan anda lakukan apabila anak bermasalah? Belajar berkomunikasi dengan anak jelas merupakan satu kemahiran penting.
Sebenarnya terdapat banyak perkara yang boleh dibincangkan bersama anak. Misalnya, pendidikan seks, bahaya merokok dan penyalahgunaan dadah serta alkohol.
Sentiasa bersedia
Apakah yang akan anda lakukan pada kali pertama berdepan dengan masalah didikan anak yang spesifik? Misalnya, ketika anak bercakap bohong, mencuri atau ponteng sekolah? Anda mungkin tidak bersedia untuk setiap situasi tetapi perancangan awal mungkin dapat membantu.
Membuat perancangan awal juga boleh membantu anda berdepan dengan anak-anak yang sukar dikawal.

Saat menilai cinta






APAKAH progres perhubungan cinta anda tahun lalu?

SETIAP kali menjelang tahun baru, melakukan resolusi mengenai karier, hal kewangan dan cinta sememangnya menjadi rutin bagi setiap orang.
Bagi pasangan yang sedang bercinta, kenangan yang dilalui sepanjang tahun lalu mungkin lebih mematangkan fikiran. Apatah lagi bagi pasangan yang pernah gagal dalam percintaan.
Mereka menganggap tahun yang dilalui umpama suatu pengajaran yang membawa ke arah kehidupan yang lebih bermakna.
Menyentuh soal cinta, jangan pula anda lupa melakukan perubahan kepada diri dengan meletakkan keazaman yang tinggi dalam hal-hal melibatkan dunia percintaan.
Ikuti tip-tip yang disenaraikan di bawah:
1. Lupakan masa lalu
Anda bukanlah insan yang pernah dikhianati, dibenci mahupun ditinggalkan menjelang hari pernikahan. Setiap perkara yang dilalui sepanjang kehidupan lalu harus dijadikan pengajaran. Tetapi, jangan biarkan pengalaman buruk anda pada masa lampau mempengaruhi hubungan yang sedang terjalin.
Jangan biarkan hal-hal positif dan menyenangkan anda dengan pasangan bertukar gara-gara terlalu asyik membuat perbandingan dari tahun ke tahun. Ibaratkan hubungan yang baru dijalinkan itu seperti kertas putih yang siap dicorak.
2. Temui ramai orang
Bekerja di bawah satu bumbung yang sama atau tinggal berhampiran dengan kediaman anda tidak bermakna dapat membantu anda menemui calon kekasih yang berpotensi, kecuali seorang teman yang sudah lama dikenali. Jalinkan hubungan cinta dengan seorang teman yang boleh membawa anda ke arah dunia persahabatan yang lebih bermakna.
Keluarlah dari zon selesa anda. Sekiranya selama ini anda kerap ke pusat gimnasium selepas pulang dari tempat kerja, namun pada tahun ini, bangunlah pada awal pagi dan lakukan rutin harian dengan melaksanakan segala tugasan yang lebih menyihatkan. Lebih berkesan, ikuti kursus atau motivasi yang melibatkan pesertanya terdiri di kalangan lelaki dan wanita.
3. Ubah penampilan
Sudah tiba masanya anda meninggalkan gaya penampilan lama. Tidak salah sekiranya anda mengeluarkan wang yang lebih semata-mata untuk mengubah stail rambut terkini. Kunjungi salon dan bawalah contoh model rambut daripada majalah sekiranya perlu mendapat keterangan.
Demikian pula dalam hal berkaitan pakaian dan aksesori. Pilih baju berwarna cerah dan bermotifkan corak yang menarik agar anda kelihatan menonjol pada setiap masa.
4. Jangan terburu-buru
Menemui cinta baru mungkin mendatangkan kesan positif. Tetapi, jangan pula anda terus membawanya berjumpa dengan seluruh ahli keluarga. Tunggulah sehingga waktu yang tepat dan jangan sesekali merosakkan hubungan yang baru dibina itu. Hindari berbicara tentang masa depan saat hubungan baru berumur setahun jagung. Nikmatilah waktu perkenalan ini untuk memantapkan hati anda dan pasangan.
5. Jangan terlalu memilih
Setiap orang pasti ada kekurangannya, jadi apabila anda begitu obses akan kekurangan pasangan, mungkin anda sukar untuk menemui cinta baru. Sekurang-kurangnya selidik dulu kelebihan yang ada pada dirinya.
6. Buat keputusan
Cinta kerana paksaan akan membawa duka pada kemudian hari. Jangan takut untuk meluahkan apa yang terpendam kerana ia boleh mendatangkan kesan buruk dalam perhubungan. Oleh itu, lakukan keputusan yang berpihak kepada diri dan jangan takut katakan 'tidak'.

Saman perampas suami orang,,,:(((

Utusan Malaysia Online - Keluarga

SARANAN Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang mengatakan seseorang yang cuba memecahbelahkan perkahwinan orang lain boleh didakwa ke mahkamah, mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat.

Dalam saranannya Kamilia memberitahu, terdapat peruntukan undang-undang di bawah Enakmen Pentadbiran Keluarga Islam yang membolehkan ‘pihak ketiga’ disaman kerana cuba merosakkan perkahwinan pasangan lain.

Namun, menurut beberapa NGO, saranan itu mempunyai pro dan kontranya.

20 November, 2010

Selamat Hari Lahir Along yG ke 8 Tahun


Selamat Hari Lahir Along yang ke 8 Tahun.  Ibu doakan semoga anak ibu mendapat keberkatan hidup di dunia dan akhirat,,,Insyaallah amin...

20 July, 2010

Dairiku,,,:(((

Kadang-kadang apa yang dipandang hina oleh orang lain tu merupakan cahaya kepada hidup orang lain.  Sume orang mengharapkan kesempurnaan dalam hidup ini tapi realitinya tidak seperti yang diharapkan.  Apapun hidup harus diteruskan walau apapun cabarannya.  Suka duka silih berganti.  Anggaplah pengalaman hidup ini sesuatu yang berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit sekalipun.  Semoga pengalaman hidup ini akan menjadikan kter matang dalam menghadapi cabaran yang mendatang.  Walau menjadi ibu tunggal tidak pernah ada dalam ingatan aku namun kugagahi  jua.  Moga Allah memberikan aku kekuatan untuk terus menggalas amanah yang teristimewa ini....amin. 

06 June, 2010

Mak ampuni anakmu,,,:(((

aku bersalah pada ibuku,,,amat malang bagi aku di usia yang matang ini masih dipukul dan dimarahi bagaikan budak kecil.  Tindakanku untuk meneruskan hubungan dengan si dia mendapat tentangan hebat dari Insan yang melahirkan dan membesarkan aku.  Benar salah aku kerana meneruskan hubungan dengan insan milik orang tapi hingga kini dia kekal di ati.  Aku sedar apalah sangat mengejar cinta dunia tapi sebagai insan biasa naluri untuk di sayangi oleh insan bergelar lelaki masih kuat.  Dia masih kekal di ati ini.  Salahkah aku untuk menyintainya... 

09 May, 2010

Selamat Hari Ibu

Pertama sekali Selamat Hari Ibu buat ibu tersayang Pn. Rohaini Mohd Said.  Moga mak sihat sentiasa dan mendapat rahmatNya,,,amin.  Buat insan-insan di luar sana yang bergelar ibu diucapkan selamat Hari Ibu moga sentiasa diberi kesihatan yang sihat dalam menjalani tanggungjawab seharian dan moga ceria-ceria selalu,,,,,dari saya :)

07 May, 2010

Selamat Hari Jadi Boy yG ke 5 taun

Selamat hari jadi buat anak ibu,,,  moga boy  dimurahkan rezeki ceria selalu serta mendapat keberkatan hidup dunia dan akhirat Insyaallah....mmmuuuuaahhh!!!

10 March, 2010

myMetro | Minda: Musibah krisis rumah tangga

myMetro | Minda: Musibah krisis rumah tangga

“SEDANGKAN lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri”. Peribahasa ini cukup sinonim dengan kemelut yang melanda pasangan yang berkahwin. Konflik rumah tangga adalah asam garam kehidupan.
Mengharungi kehidupan perkahwinan dan menjalankan kewajipan sebagai ibu bapa, suami dan isteri bukan mudah untuk dilaksanakan. Institusi perkahwinan adalah sesuatu yang amat suci dan harus dijaga dengan baik demi masa depan keluarga serta keturunan kerana dengan kebahagiaan keluarga akan terbentuk satu sistem sosial yang sejahtera. Sejak kebelakangan ini kes perceraian membabitkan pasangan baru berkahwin mahupun yang sudah berpuluh tahun hidup bersama amat membimbangkan. Kes perceraian dalam tempoh perkahwinan yang amat singkat iaitu antara seminggu dan setahun, serta kes perceraian pasangan yang telah lama berkahwin dan mempunyai cucu jelas memperlihatkan kepincangan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita yang perlu diberikan perhatian serius.

Konflik rumah tangga dan perceraian memberi impak besar pada struktur institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. Keluarga adalah unit asas yang dapat memperkukuhkan sistem sosial dan sekali gus membina kesejahteraan negara. Kepincangan institusi kekeluargaan ini secara tidak langsung menambah masalah kepada negara apabila mereka yang menjadi mangsa perpecahan rumah tangga terbabit dengan masalah seperti gejala sosial, dadah, pelacuran, ketidakstabilan mental dan jenayah. Kesan jangka panjangnya ialah masyarakat dan negara akan berhadapan dengan keruntuhan sistem sosial yang membawa kepada keruntuhan nilai murni dan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini individu yang paling terkesan apabila berlakunya konflik rumah tangga ialah anak-anak.


Orang-orang tua pernah berpesan jika mahu bercerai lihatlah pada wajah anak-anak. Kerana di mata mereka ada seribu penderitaan dan kesengsaraan jika ikatan perkahwinan itu terputus. Allah amat membenci perceraian walaupun ia dihalalkan. Dalam hal yang berkaitan, anak-anak inilah yang menjadi mangsa jika perceraian berlaku. Banyak kajian membuktikan bahawa kesan perceraian akan meninggalkan stigma yang sangat mendalam di jiwa anak-anak serta pasangan berkenaan. Malah, bukan saja hidup mereka menjadi kucar-kacir tetapi kesannya menjalar ke beberapa keturunan.


Statistik perceraian yang diambil daripada lama web Jakim menunjukkan secara keseluruhannya kadar perceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun. Keseluruhan kes perceraian di seluruh negara pada 2008 ialah 22,289. Selangor mendahului senarai teratas kes perceraian dengan 3,558 kes, dikuti Kedah 2,407 kes dan Johor 2,329 kes. Menurut Kaunselor Perkahwinan dan Perceraian, Hushim Salleh peningkatan dalam kadar perceraian ialah satu amaran kepada masyarakat bahawa sesuatu perlu dibuat segera dalam sistem kekeluargaan kita bagi menangani isu yang nampak kecil tetapi sebenarnya ibarat barah yang akan memusnahkan bangsa dan negara.


Beliau berkata, perkahwinan bukanlah sesuatu yang sentiasa sempurna. Hidup dalam rumah tangga memang banyak cabarannya, oleh itu pasangan perlu banyak bersabar, bertolak ansur dan memahami pasangan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga. “Setiap pasangan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing justeru titik persefahaman dan keserasian perlu dicari agar rumah tangga dapat dibina dengan rasa hormat menghormati dan sentiasa aman dan damai,” kata Hushim yang mengesyorkan pasangan yang mahu bercerai berjumpa kaunselor untuk berbincang. Beliau berkata, untuk menangani masalah perceraian, konsep mencegah adalah lebih baik daripada mengubati. “Dalam menangani masalah ini, komunikasi amat penting dalam menyelesaikan kemelut yang melanda jiwa dan perasaan mereka. Mereka mestilah meluahkan segala yang tidak berkenan dari hati ke hati, jangan memendam rasa kerana itu bahaya, ” kata Hushim lagi. Beliau juga berkata, setiap masalah ada penyelesaiannya jika kedua-dua pihak boleh berunding. Pasangan yang bermasalah jangan berdendam dan jangan mengungkit perkara lama. “Dendam dan mengungkit perkara lama perkara yang menyemarakkan lagi api kemarahan,” jelasnya. Hushim menjelaskan kesan perceraian pada keluarga dan masyarakat amat banyak dan daripada segi jangka panjangnya amat buruk. Jika institusi kekeluargaan sudah pincang akan berlakulah gejala kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, mengandung anak luar nikah dan jenayah. Semuanya ini berkait antara satu sama lain. Hushim juga menegaskan perceraian dan konflik rumah tangga menyebabkan emosi anak-anak terganggu, mereka selalu murung dan berasa kurang disayangi. Ini kerana apabila rumah tangga pincang dan hidup anak-anak tidak tenteram disebabkan ibu dan ayah sering bergaduh mereka mencari pelarian kepada masalah itu. Kesan lain termasuk masalah mental anak-anak yang menyebabkan penurunan prestasi belajar mereka akibat runsing kerana melihat kemelut perkahwinan ibu dan ayah mereka. “Mereka juga rasa rendah diri bila diejek kerana masalah perceraian ibu bapa. Tekanan pada psikologi kanak-kanak ini juga amat hebat. Perceraian membentuk pembinaan karakter yang kurang sihat umpamanya bersikap agresif, pendendam, pentingkan diri sendiri dan menjadi pembuli. “Malah anak-anak yang begitu terkesan dengan situasi perceraian akan melahirkan perasaan tidak normal seperti lelaki membenci perempuan dan perempuan membenci lelaki. “Selain itu perceraian juga membuatkan anak-anak bersikap fobia memasuki alam perkahwinan kerana melihat masalah yang dialami ibu bapa mereka,” katanya.

Perkara ini berlaku kerana sejak agama sudah tidak menjadi pegangan mereka dan semua hukum agama ditolak begitu saja. Akibatnya isteri tidak menghormati suami dan suami tidak bertanggungjawab terhadap keluarga, kata Hushim. Sementara itu, Dr Mohd Nizam Sahad, dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pula berkata, musibah seperti krisis rumah tangga yang menimpa manusia adalah sebagai penebus dosa dan ujian dari pada Allah akibat kelalaian dan kealpaan manusia dalam hubungan menegak dengan Pencipta. Menurut beliau, Allah timpakan musibah konflik rumah tangga semoga kita kembali kepada-Nya dan merenung tanggungjawab kita sebagai suami mahupun isteri untuk sama-sama berusaha beroleh syurga Allah melalui pelaksanaan sebaik mungkin fungsi kita sebagai suami yang memimpin dan isteri yang berkhidmat. Katanya, seandainya krisis rumah tangga sampai ke kemuncak dengan terjadinya perceraian, anggaplah ia ketentuan Allah yang pada perceraian itu sebagai jalan keluar daripada krisis berpanjangan yang mengganggu gugat hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. > Penulis ialah pensyarah UiTM, Shah Alam